Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Apabila
saya mendedahkan beberapa panduan dan kesilapan kerap dalam bab
penceraian di Malaysia khususnya, di ruangan komentar ramai yang
bertanya pelbagai soalan berkaitan, bagi menjawab soalan-soalan berikut,
saya sediakan artikel ringkas ini.

Antara isu yang dikira paling keliru di kalangan masyarakat adalah bab ruju'.
Ada wanita yang berkata, "suami saya ingin ruju', tetapi saya masih memikirkan samada untuk terima atau tidak"
Ketahuilah,
bahawa ruju' tidak memerlukan sebarang persetujuan wanita. Ia adalah
ijma' ulama seluruhnya. Ruju' ini ibarat menjatuhkan talak yang hanya
tertakluk kepada suami.
Bolehkah apabila seorang suami menjatuhkan talaq satu kepada isteri, maka si isteri berkata :
"abang, nanti saya fikir dulu sama ada nak terima atau tidak Talaq abang tu"
Tiada
sebarang peruntukan oleh Allah swt dan RasulNya untuk wanita dalam hal
tersebut. Samalah keadaannya dalam hal suami ingin ruju' kembali. Imam
Ibn Qudamah berkata :
والمراجعة
أن يقول لرجلين من المسلمين : اشهدا أني قد راجعت امرأتي . بلا ولي يحضره ,
ولا صداق يزيده . ..وجملته أن الرجعة لا تفتقر إلى ولي , ولا صداق , ولا
رضى المرأة , ولا علمها . بإجماع أهل العلم ;
Ertinya : Ruju' adalah dengan cara seorang lelaki melafazkan (contohnya) : "Aku dengan ini ruju' kembali dengan isteriku"
Tanpa
diperlukan kehadiran wali, sebarang mahar tambahan, dan secara umumnya,
sesungguhnya ruju' tidak memerlukan wali, mahar dan juga redha si
isteri dan tidak juga disyaratkan mesti pemakluman kepada isteri, ia
adalah dengan ijma' seluruh ahli ilmu." ( Al-Mughni, 7/405 ; Badai'e
as-Sonaie', Al-Kasani)
Namun,
khabarnya Malaysia (mungkin Ijtihad Malaysia) mengambil pendekatan yang
sedikit berbeza apabila mereka mengambil fatwa yang berbeza dengan
ijma yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah tadi, ini adalah kerana berdasarkan
Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh
pasangan yang ingin meruju'.
Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.
Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.
Kedua : bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut.
Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.
Setelah
itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah
bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses ruju'
itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.
Namun
apapun, pihak pemerintah Malaysia kelihatan membuat keputusan dan
ijtihad sendiri apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie
hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -
والجديد أنه لا يشترط لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب
Ertinya
: Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk
sahnya ruju', kemudian, (ruju') juga tidak memerlukan kepada
(persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )
BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ?
Tidak
terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang
oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.
Namun
ada yang bertanya kepad asaya sama ada ada cara lain, bagaimana jika
berlakunya persetubuhan dalam masa iddah tersebut sebelum lafaz.?
Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-
Hanafi
: Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan
seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan
lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti
Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah,
Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.
Maliki
: Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju'
semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain
dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'.
Syafie
: Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara
total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan
Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu
‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram.
Imam As-Syafie berkata :-
والرد
يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة
لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم
بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm)
Hanbali
: Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan
permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau
tidak.
Kesimpulan
: Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah saya dedahkan
di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.
AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH
Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua.
Si
suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah
suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. (
Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154
)
Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya????
Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.
Namun
menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu
ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih
dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.
RUJU' DALAM KES TEBUS TALAQ
Adapun tebus talaq ataupun khulu', penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan ruju', sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talaq (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).
Namun
majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes
tebus talaq. Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijma'
(perspekatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak ruju' bagi kes tebus
talaq. Ini adalah kerana Talaq itu jatuh dalam kategori Talaq Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh diruju'). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)
Cuma
bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi
ingin ruju' juga dalam kes tebus talaq. Ertinya, peruntukan asalnya
suami tidak boleh ruju' seperti kes talaq biasa, namun dalam kes tebus
talaq, lelaki hilang haknya untuk ruju' tanpa redha isteri. (Kasyyaf
Al-Qina', Al-Bahuti)
PERLUKAH RUJU' KEPADA SAKSI?
Ulama
berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya
menyatakan penyaksian dalam bab ruju' adalah wajib. Berdasarkan dalil
firman Allah s.w.t :
فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Ertinya : Apabila
mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik
atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( At-Talaq : 2 )
Namun
pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib
kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain.
Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh
pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat
secara rasmi.
Ia
baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil
jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian ruju' boleh
dilakukan di mahkamah Shariah.
Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-
مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب
Ertinya
: Mahzab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan
seluruh aqad selain aqad nikah dan ruju' adalah digalakkan sahaja, tidak
wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170)
Mazhab Syafie berfatwa, digalakkan wajib saksi dalam hal aqad nikah dan sunat dalam hal ruju'.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment