-
March 9, 2013
1203
0
0
PETALING JAYA – Isteri kepada
penyanyi Awie iaitu Ruzana Misbun memberi keizinan kepada suaminya untuk
bekerjasama dengan bekas kekasihnya, Erra Fazira, menerusi rakaman
program bual bicara Tunggu Sekejap di TV3.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar
Othman, 45, berkata, selepas mendapat tahu pihak produksi program yang
dikendalikannya itu menjemput Erra sebagai tetamu undangan, dia terus
memberitahu perkara tersebut kepada isterinya agar tidak berlaku salah
faham.
“Sebenarnya isteri saya tidak mempunyai
masalah tentang gandingan ini. Apa yang telah berlaku dahulu sudah
menjadi sejarah dan sekarang kami mempunyai kehidupan keluarga
masing-masing.
“Dia (isteri) juga sangat sporting.
Malah dia merupakan peminat Erra dalam program bual bicara Primadona
(Astro),” katanya yang dihubungi mStar Online petang Jumaat.
Awie yang merupakan hos Tunggu Sekejap
dan Erra telah digandingkan bagi menjayakan rakaman rancangan itu musim
kedua yang berlangsung di studio ntv7, Glenmarie Shah Alam, Khamis lalu.
Penyanyi itu menemu bual Erra selama
sejam dan ini merupakan kerjasama pertama mereka selepas berlakon
bersama menerusi filem Cuci pada tahun 2008.
Sebelum ini, Awie dan Erra pernah
bertunang pada tahun 1997 selepas bercinta selama empat tahun, namun
perhubungan itu putus pada tahun 1998.
Tambah Awie, dia sebenarnya tidak senang
apabila isu gandingan mereka diperbesarkan kerana kerjasama itu lebih
bersifat profesional.
“Perlu diingat apabila bekerja di bawah satu industri yang sama, pergilah ke mana sekalipun kita pasti akan berjumpa.
“Sebenarnya saya tak suka komen tentang
hal ini, kami tidak ada masalah apa-apa pun. Cumanya… masalah akan
timbul jika ada orang yang tidak senang dengan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Awie berkata, dia turut
merancang untuk mengambil Erra sebagai pelakon utama dalam filem yang
bakal diterbitkan di bawah syarikat miliknya iaitu Awie Entertainment
tidak lama lagi.
Selain itu Awie juga merancang untuk
menganjurkan sebuah konsert trio yang menggandingkan dia, Erra dan Ziana
Zain, bagi mengingati filem Sembilu lakonan mereka yang pernah menjadi
fenomena sebelum ini.
“Jika masa mengizinkan, konsert ini bakal berlangsung pada tahun ini, tetapi semuanya masih lagi dalam perancangan.
“Saya percaya konsert ini pasti memberi
kenangan pada zaman filem Sembilu yang pernah menjadi fenomena pada
tahun 1994,” katanya yang baharu menamatkan penggambaran filem Zombie
Kilang Biskut.
– mStar Online