Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasangan lucah yang sering menimbulkan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee mungkin disiasat menggunakan Akta Hasutan ekoran tindakan provokasi melampau di bulan Ramadan yang mengundang kemarahan orang Islam.
Pasangan itu mengirim sekeping gambar di laman Facebook Khamis lalu dengan mengucapkan “Selamat Berbuka Puasa” sementara menikmati ‘bak kut teh’ (sup herba babi) selain logo Halal juga dipamerkan pada gambar berkenaan.
"Ya, Akta Hasutan. Pertimbangan harus dan akan dibuat," kata Abdul Gani kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata, tuduhan mengikut Akta Hasutan itu boleh dikenakan ke atas pasangan terbabit, selain dakwaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia yang membawa hukuman lebih rendah.
Facebook menutup laman berkenaan setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan selepas menerima beberapa laporan daripada orang awam berhubung kiriman itu.
Mereka memohon maaf dalam satu laman kiriman video YouTube dengan mendakwa perbuatan mereka hanya satu jenaka.
Bagaimanapun, SKMM tidak melihat isu berkenaan sebagai melucukan.
Ketua bahagian penguatkuasaan dan pemantauan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan akan dapat dilengkapkan dalam minggu ini dan pihak polis juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri.
Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara setahun atau denda RM50,000. - 16 Julai 2013.
No comments:
Post a Comment