Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
DAYANG NURFAIZAH mengaku teringin untuk mempunyai anak, namun dia tidak berani untuk mengambil anak angkat.
|
PENYANYI bersuara gemeresik, Dayang Nurfaizah mengakui pertama kali
dilatih menjalani ibadah puasa adalah pada usia tujuh tahun.
Begitupun, dedah penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu, dia yang
berpuasa ketika itu tidak berjaya menahan diri lalu membuka puasa
dengan secawan air sejuk. Akibatnya, Dayang atau nama sebenarnya Dayang
Nurfaizah Awang Dowty, dipukul oleh ibunya.
"Mak memang sangat tegas. Umur tujuh tahun lagi dia sudah suruh
Dayang puasa. Tetapi belum sempat waktu berbuka Dayang tidak tahan lalu
meminta nenek air untuk minum. Bila mak dapat tahu dia sangat marah dan
mencubit Dayang dengan kuat," ungkapnya ketika ditemui pada majlis
berbuka puasa bersama anak yatim di Hotel Prince, Kuala Lumpur.
Kesan daripada amarah dan cubitan ibunya, sejak daripada itu Dayang tidak pernah ponteng puasa kecuali jika dia datang bulan.
Mengimbau kenangan berpuasa ketika kecil, ujar Dayang, dia selalu mengikut ibunya bertadarus dan solat tawarih.
"Dayang selalu ikut mak tadarus dan tawarih. Ketika tadarus, Dayang
sekadar ikut dan dengar sahaja tetapi satu hari Dayang sertai sama tanpa
pengetahuan mak. Dia terkejut tetapi gembira," ujarnya.
Gosok baju
Berkongsi aktiviti puasanya pada tahun ini pula, tutur Dayang, dia
mendapat banyak tawaran menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak
yatim.
Dalam masa yang sama, jelas Dayang, dia juga sedang mencari lagu
baharu untuk dijadikan single terbaharu selepas hit dengan lagu
Bisikan Rinduku.
"Lagu
Bisikan Rindu itu dibuat khas untuk lagu runut bunyi drama
Dahlia.
Kalau boleh Dayang mahu sebuah single untuk Dayang sendiri," ungkapnya
yang gembira kerana sambutan puasanya lebih teratur selepas keluarganya
berpindah ke Kuala Lumpur.
Ditebak apakah makanan yang disukai semasa berbuka puasa, ulas Dayang, dia sangat merindui ikan terubuk bakar Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, menu tersebut tidak ada di Kuala Lumpur.
Terlanjur bersembang tentang puasa, Dayang turut bercerita tentang sambutan Aidilfitrinya.
Ceritanya, setiap tahun, dia akan pastikan anak-anak buahnya memperoleh baju raya baharu.
"Setiap kali nak raya, Dayang sibuk beli baju untuk anak-anak buah
dan juga tempah kek lapis. Baju raya Dayang sekadar dua pasang sudah
memadai," ujarnya.
DAYANG NURFAIZAH meraikan seramai 53
orang anak yatim daripada Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dengan
kerjasama Hotel Prince Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bakal pulang ke Kuching dua minggu sebelum raya, ungkap Dayang, dia
tidak pernah membuat rumah terbuka untuk peminatnya. Begitupun,
jelasnya, rumahnya sentiasa terbuka untuk peminat datang berhari raya.
Dayang turut berkongsi mengenai pengalaman menggosok baju anak buahnya sehingga terbakar dan berlubang.
"Dayang sebenarnya tidak suka gosok baju. Tetapi, masalahnya sejak
kecil lagi Dayang memang gosok baju sekolah sendiri. Ada baju sekolah
yang Dayang gosok sampai jadi warna kuning.
"Begitu juga, baju raya anak buah Dayang. Kesian dekat dia terpaksa
pakai baju biasa sebab baju raya berlubang digosok Dayang," ungkapnya
sambil ketawa mengenangkan peristiwa tersebut.
Acap kali bertemu dengan Dayang, pasti soalan bilakah dia akan menamatkan zaman bujang diajukan kepadanya.
Akui bosan apabila sering ditanyakan soalan tentang kahwin, luah
penyanyi berusia 32 tahun itu, dia sebenarnya teringin mempunyai anak,
tetapi sehingga kini dia belum bertemu jodoh apatah lagi berumah tangga.
"Sebenarnya bila melihat kanak-kanak, hati saya terdetik teringin
untuk mempunyai seorang anak. Tetapi hendak buat macam mana jodoh saya
belum sampai," ungkapnya.
Ditebak tidakkah dia teringin mengambil anak angkat seperti
kebanyakan artis lain, dedah Dayang, dia tidak berani dan menganggap
tanggungjawab tersebut terlalu besar.
"Saya tidak berani ambil anak angkat. Besar sangat tanggungjawab itu.
Saya perlu bersedia dari segi mental. Saya hormat dengan orang yang
sanggup ambil anak angkat malah menjaganya dengan baik," akuinya.
Kejutan hari lahir
Satu malam amal berbuka puasa untuk penghuni rumah kebajikan terpilih
di bawah seliaan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) bersama
Dayang dengan kerjasama Hotel Prince Kuala Lumpur telah berlangsung pada
malam kedua Ramadan lalu.
Pada majlis tersebut, ratu R&B itu mendendangkan lagu-lagu seperti
Hari Mulia, Dayang Sayang Kamu dan
Seandainya Masih Ada Cinta untuk anak-anak yatim tersebut.
Menariknya, dalam kemeriahan majlis berbuka tersebut, penyanyi dari
Bumi Kenyalang itu menerima kejutan apabila diraikan dengan sambutan
hari lahirnya yang ke-32 tahun.
Majlis pada malam itu turut disertakan dengan alunan ghazal secara
langsung oleh Seri Nusantara 2 serta aktiviti sampingan seperti meniup
belon dan mewarna untuk anak-anak yatim.
Setiap daripada anak-anak yatim itu telah mendapat sumbangan khas
berupa beg saguhati serta duit raya oleh Pengarah Urusan Hotel Prince
Kuala Lumpur, Tim Quarm.