Bantu Blog ini Hanya Klik/Ketik

Showing posts with label Rasis. Show all posts
Showing posts with label Rasis. Show all posts

Thursday, July 18, 2013

Alvin, Vivian didakwa tiga tuduhan

 

© Utusan Melayu (M) Bhd
 
Alvin Tan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam berhubung kes mempersendakan Ramadan dan mempamerkan gambar lucah di sebuah laman web yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia. 
 
KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah di sebuah laman web, dua minggu lalu.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasangan itu tidak dibebaskan dengan jaminan sehingga selesai perbicaraan atas alasan kedua-dua tertuduh cenderung memuat naik kandungan yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.
Dengan keputusan itu, Alvin yang berkemeja T warna merah dan seluar jean ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian yang memakai kemeja T warna merah jambu dihantar ke Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 23 Ogos ini.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dibuat setelah mereka berdua ditahan pihak polis ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini kira-kira pukul 1 petang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada pukul 10.48 malam, tarikh dan tempat yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon ketiga-tiga kes dibicarakan bersama-sama namun tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesemua pertuduhan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Menurut beliau, kedua-dua tertuduh turut mempunyai kecenderungan untuk memuat naik kandungan yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

''Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang turut mewakili pihak pendakwaan pula menyatakan, perbuatan Alvin dan Vivian bukan sahaja membangkitkan kemarahan masyarakat malah jika tidak dikawal boleh memusnahkan keharmonian antara masyarakat berlainan bangsa dan agama di negara ini.

''Kedua-dua tertuduh berkemungkinan memuat naik lagi artikel atau gambar yang menyinggung perasaan masyarakat dan ini merupakan perbuatan yang serius dan membimbangkan.

''Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita Google sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius,'' katanya.

Peguam bela Chong Joo Tian yang mewakili Alvin dan Vivian bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan kepada anak-anak guamnya memandangkan mereka tidak sepatutnya dihukum sebelum disabitkan bersalah atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, July 17, 2013

Gadis Dalam Blog Seks Pertahan Gambar dan Video Lucah

Gambar dari blog Sumptuous EroticaGambar dari blog Sumptuous EroticaKUALA LUMPUR: Sebelum ini, berita mengenai blog seks Sumptuous Erotica hanya memberi tumpuan kepada Alvin Tan Jye Yee, rakyat Malaysia  yang mendapat biasiswa Asean untuk belajar di Universiti Nanyang Singapura (NUS), kini kekasihnya Vivian Lee muncul untuk mempertahankan tindakan memasukkan gambar dan video lucah ke blog tersebut. 

Posting tersebut telah pun dipadam oleh pasangan itu, meninggalkan hanya halaman diarkibkan dengan posting sebelumnya sejak dari bulan 20 September sehingga 15 Oktober, akan tetapi gambar-gambar dan video dari blog itu telah pun diedarkan oleh laman Gutter Uncensored.

Lee berasal dari Johor, merupakan graduan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Saya tidak melihat menjadi satu kesalahan memasukkan gambar dan video aksi seks kami ke internet. Ia bertujuan untuk menunjukkan kepada dunia tentang kehebatan cinta kami. Saya tidak faham mengapa orang mahu memperbesarkan perkara ini. Ini urusan peribadi kami,” kata beliau dipetik dari The Star Online.

Dalam blog seks mereka, Lee dan Tan berkongsi gambar-gambar seks dan video yang menggambarkan pasangan tersebut di pelbagai aksi telanjang dan melakukan seks.

Imej-imej berbeza daripada potret artistik pasangan tersebut, untuk menutup kemaluan mereka.

“Pada kami, gambar di blog adalah kerja seni. Kami adalah orang yang berfikiran terbuka dan mahu kongsikan ini kepada dunia.

“Kami mahu mereka melihat betapa cantiknya ia,” katanya.

Tiga video dikongsi di blog Sumptuous Erotica termasuk apa yang diterangkan sebagai “video lucah pertama” mereka.

Menurut pasangan tersebut, video enam minit itu telah “dirakam dan disunting dalam masa sejam dan ditulis berdasarkan tema menarik.”

Lee tidak faham mengapa apabila orang-orang Barat melakukan perkara sebegini, ia tidak dilihat sebagai satu kesalahan.

“Orang Asia tidak seharusnya berfikiran konservatif dan perlu terbuka tentang kehidupan seks mereka,” katanya lagi.

Video pertama menggambarkan pasangan dalam situasi fantasi rogol, di mana Lee “diserang” di atas katilnya oleh penceroboh.

Satu lagi video yang diambil dari perspektif Tan, menunjukkan Lee melakukan seks oral ke atas pasangannya.

Video ketiga adalah pandangan orang ketiga selama lapan minit melihat pasangan tersebut melakukan “seks panas di Kuala Lumpur.”

“Sumptuous Erotica” juga menyiarkan beberapa soalan daripada pembaca mereka yang kebanyakkannya bertanya kepada Lee.

Apabila pembaca bertanya apa sebab mereka menerbitkan blog, pasangan itu menjawab, “Kerana kami percaya bahawa tiada apa-apa yang pada asasnya salah dengan seks.”

Lee dan Tan mendakwa mereka telah dirapati oleh syarikat-syarikat di Singapura untuk menyokong alat permainan seks dan pakaian dalam selepas episod tersebut.

“Ia dilakukan untuk tujuan komersil. Ia adalah untuk hiburan dan cinta.

“Apabila kami mulakan blog tersebut pada September, kami mempunyai jumlah pengikut yang kecil, kebanyakkannya orang-orang Barat.

“Akan tetapi selepas tiga minggu selepas lebih banyak video dan gambar dimasukkan, lebih ramai pengguna internet Singapura dan Malaysia mula tahu.

“Kurang dua hari blog tersebut jadi lebih dikenali selepas media Singapura mendedahkannya,” katanya lagi dipetik dari The Star Online.

 Walau bagaimanapun, jurucakap NUS telah mengesahkan semalam bahawa Tan akan disiasat oleh Lembaga Disiplin universiti (BOD).

Lee turut dimarahi oleh keluarganya sehingga menyebabkan blog tersebut terpaksa ditutup.
 
- The Malaysian Insider

Hukum ‘pasangan blogger lucah’, kata Guan Eng

OLEH RITA JONG dan HASBULLAH AWANG CHIK

Ahli politik Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bersepakat mengutuk pasangan yang mengirim ucapan Ramadan melalui Facebook dengan menegaskan pasangan berkenaan harus menerima hukuman yang setimpal.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut menganggap pasangan berkenaan telah melakukan satu penghinaan.

Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP berkata Tan Jye Yee (Alvin) dan Vivian Lee sudah keterlaluan.

“Perbuatan mereka melanggar undang-undang. Mereka seharusnya dihukum. Tiada syak lagi. Ini jelas bertentangan dengan prinsip masyarakat berbilang kaum. Ini jelas satu penghinaan,” ujar Lim.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar turut sekata berhubung hal berkenaan.
“Mereka sudah keterlaluan dan perbuatan mereka menghina orang Islam,” kata beliau.

“Meskipun mereka telah memohon maaf namun itu tidak memadai. Hal itu telah pun berlaku.”

Noh bersetuju pasangan berkenaan harus disiasat dan dihukum sekiranya sabit kesalahan.

Baca juga: BN/pembangkang sepakat tindakan tegas terhadap pasangan persenda umat Islam
Baca juga: Pasangan persenda umat Islam boleh didakwa antaranya mengikut Akta Hasutan 


Pandangan itu dikeluarkan setelah pasangan berkenaan dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan siasatan hari ini.

Pasangan itu mengirim sekeping gambar di laman Facebook Khamis lalu dengan mengucapkan “Selamat Berbuka Puasa” sementara menikmati ‘bak kut teh’ (sup herba babi). Logo Halal juga dipamerkan pada gambar berkenaan.

Gambar berkenaan mengundang kemarahan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Facebook telah menutup laman berkenaan setelah SKMM menjalankan siasatan selepas menerima beberapa laporan daripada orang awam berhubung kiriman itu.

Mereka telah memohon maaf dalam satu laman kiriman video YouTube dengan mendakwa perbuatan mereka hanyalah satu jenaka.

Walau bagaimanapun, SKMM tidak melihat isu berkenaan sebagai melucukan.

Ketua bahagian penguatkuasaan dan pemantauan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan akan dapat dilengkapkan dalam minggu ini dan pihak polis juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri.

Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara satu tahun atau denda RM50,000. - 15 Julai 2013.

Pasangan lucah hina Islam harus dihukum, kata Tun Mahathir

July 17, 2013
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  berkata perbuatan pasangan lucah Alvin Tan dan Vivian Lee mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Menyifatkan pasangan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Dr Mahathir berkata provokasi bersabit agama sehingga mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum, khususnya umat Islam tidak seharusnya dibuat kerana ia dikhuatiri boleh menjurus kepada berlakunya rusuhan kaum.

"Kata benda yang menyakitkan hati orang mungkin orang akan balas. Nanti jadi bermusuhlah. Ini orang yang tidak ada akal, bodoh yang tidak boleh diajar," katanya.Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga Proton di Shah Alam, semalam, dan berpendapat hukuman keras harus ke dikenakan terhadap pasangan itu, sebagai pengajaran.

"Jika tidak boleh dibuang negeri, mungkin tindakan lain boleh dikenakan. Tetapi saya ingat undang-undang tidak benarkan kita lucut kewarganegaraan," katanya ketika ditanya mengenai cadangan supaya pasangan itu dilucut kewarganegaraan.

Pasangan itu sebelum ini dikecam ramai selepas memuat naik gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) berserta kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 18 orang balu, anak-anak pekerja Proton dan 53 anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Baitul Hidayah.

- Bernama, 17 Julai, 2013.

‘Pasangan lucah’ boleh didakwa guna Akta Hasutan, kata Abdul Gani



July 16, 2013

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasangan lucah yang sering menimbulkan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee mungkin disiasat menggunakan Akta Hasutan ekoran tindakan provokasi melampau di bulan Ramadan yang mengundang kemarahan orang Islam.

Pasangan itu mengirim sekeping gambar di laman Facebook Khamis lalu dengan mengucapkan “Selamat Berbuka Puasa” sementara menikmati ‘bak kut teh’ (sup herba babi) selain logo Halal juga dipamerkan pada gambar berkenaan.

"Ya, Akta Hasutan. Pertimbangan harus dan akan dibuat," kata Abdul Gani kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, tuduhan mengikut Akta Hasutan itu boleh dikenakan ke atas pasangan terbabit, selain dakwaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia yang membawa hukuman lebih rendah.
Facebook menutup laman berkenaan setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan selepas menerima beberapa laporan daripada orang awam berhubung kiriman itu.
Mereka memohon maaf dalam satu laman kiriman video YouTube dengan mendakwa perbuatan mereka hanya satu jenaka.

Bagaimanapun, SKMM tidak melihat isu berkenaan sebagai melucukan.

Ketua bahagian penguatkuasaan dan pemantauan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan akan dapat dilengkapkan dalam minggu ini dan pihak polis juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri.
Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara setahun atau denda RM50,000. - 16 Julai 2013.

Tuesday, July 16, 2013

‘Pasangan lucah’ Alvin dan Vivian hadir ke SKMM beri kenyataan

Oleh Hasbullah Awang Chik

'Pasangan lucah' Alvin Tan dan Vivian Lee yang dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hadir memberikan kenyataan tepat jam 10.49 pagi tadi.

Mereka memberi kenyataan untuk membantu siasatan berhubung memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Penggerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi semalam dalam satu kenyataan mengesahkan Alvin Tan dan Vivian Lee dipanggil untuk merakamkan kenyataan dan membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Bagi kes berasingan di laman Facebook yang menyiarkan gambar babi panggang dengan cap logo Halal, Mohamed Sharil berkata pemilik akaun itu bukan rakyat Malaysia dan tidak bermastautin di negara ini.
Tahun lalu, Alvin dan Vivian menggemparkan negara apabila menyiarkan gambar dan video aksi seksual mereka dalam blog mereka.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman, berkata pihaknya masih dalam sesi soal siasat terhadap Alvin dan Vivian dan dijangka akan selesai petang ini.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan bagi merujuk kes berkenaan ke Pejabat Peguam Negara dan berharap siasatan dapat dilengkapkan dalam masa dua hari.

Sheikh Raffie berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan bukti kes berkenaan mencukupi untuk pendakwaan.

"Jika sabit kesalahan, pasangan berkenaan boleh didakwa di bawah seksyen 211 dan 233 yang memperuntukkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM50, 000.

"Kami menyeru orang ramai agar menghormati bulan Ramadan dengan mengelakkan dari mencetus kontroversi melalui kiriman di laman sosial yang bakal mencetuskan sensitiviti kaum," katanya sewaktu ditemui pemberita di pejabatnya, hari ini. -

15 Julai, 2013.